Wednesday 13 November 2013

KITA SAMA TAPI TAK SERUPA…


           

Alam ini diciptakan oleh Yang Maha Pencipta dengan pelbagai keunikan, penuh ketakjuban dengan bermacam keunikan. Beruntunglah bagi sesiapa yang mampu mengambil pengajaran daripada semua yang terbentang ini. Lihat sahaja keindahan kepada penciptaan manusia, cukup indah bukan. Kita tidak perlu menoleh jauh, lihat sahaja seorang ibu yang melahirkan ramai anak daripada rahim yang sama tetapi setiap anak memiliki perbezaannya cukup banyak. Itulah salah satu tanda akan kehebatan dan kebesaranNYA.
 
             Apabila kita merenung akan keunikan  kepada perkara ini, sebenarnya memberikan pelbagai pengajaran dan iktibar yang perlu kita ambil dalam proses kita menyelusuri perjalan kehidupan. Diciptakan kepelbagaian ini adalah untuk kita saling mengenali, saling memahami. Mencari titik perbezaan membawa kita kepada persengketaan dan perbezaan pendapat. Kelainan, perbezaan adalah untuk kita saling melengkapi. Kekurangan dihormati dan kelebihan dihargai.
 
             Tetapi, sebagai seorang manusia biasa kita sememangnya tidak akan terlepas dari persengketaan, perbezaan pendapat kerana semua orang mempunyai jangkaan atau harapan (expectation) terhadap sesuatu khusunya kepada manusia di sekeliling kita. Jangkaan atau harapan (expectation) inilah sebenarnya kadang-kadang membawa kita kepada masalah dalam kehidupan khususnya dalam konteks perhubungan kita dengan orang di sekeliling kita. Kita menjangkakan, kita berharap bahawa semua orang adalah berfikiran sama seperti kita. Apa yang kita rasa, apa yang kita fikirkan itulah yang orang lain turut fikirkan pada setiap masa. Mustahil bukan! Mana mungkin perkara ini boleh berlaku sepanjang masa. Setiap orang mempunyai cara gaya berfikir sendiri yang terbina daripada pengalaman, ilmu, asuhan, persekitaran, nilai yang terpahat sejak sekian lama. 
 
Tak semua orang boleh makan asam pedas setiap hari seperti kita. Seleranya berubah-ubah. Tak semua orang minumnya mesti manis-manis seperti kita. Tekaknya lain-lain. Nampak perbezaanya bukan? Perbezaan akan kita dapat jika perbezaan itu yang dicari dan persamaan pun akan kita nampak jika niat  kita adalah untuk mencari titik persamaan. Perbezaan bukan bermakna kita tidak boleh sehaluan makan sepinggan tetapi perbezaan itu membawa kita kepada sikap menghormati, saling menerima, selalu terbuka dan mudah berlapang dada. Hidup hanya sekali, jadi kenapa kita pilih untuk membebankan diri kita dengan perkara-perkara yang boleh buat hidup kita sengsara. Dunia adalah tempat untuk bercucuk tanam, di akhirat kelak adalah tempatnya untuk kita menuai hasil. Jika baik benihnya, maka kelak InsyaALLAH baiklah buahnya.
 
            Ayuh!!! Mari kita sama-sama betulkan jangkaan dan harapan kita terhadap orang lain. Kita hormati mereka. Tanamkan sikap bersangka baik, berlapang dada terbuka minda untuk menerima pandangan yang lain. Cara berfikirnya mungkin lebih hebat berbanding kita dalam perkara tertentu tanpa kita nafikan kita pun turut punya kelebihan dalam perkara lain. Jangan terlampau berharap kepada manusia kerana mereka belum tentu mampu memenuhi harapan kita, sebaliknya sandarkanlah harapan kita kepada Sang Pencipta manusia tersebut kerana Dialah sebenar-benarnya yang memenuhi pengharapan. “Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Al-An’am: 17)

Kita sama, tapi tak serupa.... Kekurangan dihormati, kelebihan dihargai...



Thursday 7 November 2013

TOLONGLAH…


Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya:

           Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”

    Cukup besar ibrah ataupun pengajaran yang kita boleh ceduk daripada hadis nabi di atas tentang peri pentingya sikap tolong menolong di kalangan kita. Kita sebagai umat Islam seharusnya percaya kepada setiap janji-janji yang telah Allah nyatakan dalam hadis ini dan seharusnya kita cuba ataupun wajib untuk beramal dengan apa yang telah disuruhNYA. Moga-moga kita mendapat manfaatnya.
 
      Benar, dalam kehidupan seharian kita terdapat banyak urusan yang membolehkan kita beramal dengan hadis ini bukan. Tambah-tambah lagi sekiranya urusan seharian kita ini bersangkutan dengan urusan orang ramai mahupun melibatkan interaksi kita dengan manusia. Marilah sama-sama saya mengajak diri saya khususnya dan kita semua untuk bersama-sama memasang niat dalam diri kita moga-moga setiap gerak kerja yang kita lakukan pada setiap hari ini memberikan kemudahan kepada orang lain. InsyaALLAH... Moga-moga juga apa jua kerja yang kita lakukan ini tergolong dalam kalangan mereka yang disebutkan dalam hadis ini iaitu mereka yang melepaskan sesuatu kesusahan, melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan, menutup keburukan saudaranya dan mereka yang menolong saudaranya.

      Di harapkan dengan hadis ini mampu menjadi pendorong pembakar semangat kita untuk terus menabur bakti dengan seikhlas segigih mungkin, walaupun ada masanya usaha kita itu tidak dihargai tidak dipandang oleh manusia. Bukan pandangan, bukan penghargaan manusia yang kita harapkan kerana di sana pandangan tuan empunya hati manusia itulah yang lebih penting sebenarnya, bukan. Berharap pada manusia pasti akan kecewa, tetapi pengharapan kepada ALLAH itu adalah pasti. Senyumlah...

     Jika tidak dibalas usaha baik kita pada orang lain itu kepada diri kita sendiri, mungkin ALLAH akan membalasnya kepada ahli keluarga kita. ALLAH akan menyenangkan, melapangkan serta memudahkan setiap urusan ahli keluarga kita yang lain itu setimpal dengan usaha baik yang telah kita lakukan, insyaALLAH. ALLAH itu Maha Adil sifatnNYA. Yakinlah dengan setiap janjiNYA. Tugas kita adalah untuk berusaha dan beramal. Kita serahkan kepada Yang Maha Kuasa untuk membalasnya....