Wednesday 13 November 2013

KITA SAMA TAPI TAK SERUPA…


           

Alam ini diciptakan oleh Yang Maha Pencipta dengan pelbagai keunikan, penuh ketakjuban dengan bermacam keunikan. Beruntunglah bagi sesiapa yang mampu mengambil pengajaran daripada semua yang terbentang ini. Lihat sahaja keindahan kepada penciptaan manusia, cukup indah bukan. Kita tidak perlu menoleh jauh, lihat sahaja seorang ibu yang melahirkan ramai anak daripada rahim yang sama tetapi setiap anak memiliki perbezaannya cukup banyak. Itulah salah satu tanda akan kehebatan dan kebesaranNYA.
 
             Apabila kita merenung akan keunikan  kepada perkara ini, sebenarnya memberikan pelbagai pengajaran dan iktibar yang perlu kita ambil dalam proses kita menyelusuri perjalan kehidupan. Diciptakan kepelbagaian ini adalah untuk kita saling mengenali, saling memahami. Mencari titik perbezaan membawa kita kepada persengketaan dan perbezaan pendapat. Kelainan, perbezaan adalah untuk kita saling melengkapi. Kekurangan dihormati dan kelebihan dihargai.
 
             Tetapi, sebagai seorang manusia biasa kita sememangnya tidak akan terlepas dari persengketaan, perbezaan pendapat kerana semua orang mempunyai jangkaan atau harapan (expectation) terhadap sesuatu khusunya kepada manusia di sekeliling kita. Jangkaan atau harapan (expectation) inilah sebenarnya kadang-kadang membawa kita kepada masalah dalam kehidupan khususnya dalam konteks perhubungan kita dengan orang di sekeliling kita. Kita menjangkakan, kita berharap bahawa semua orang adalah berfikiran sama seperti kita. Apa yang kita rasa, apa yang kita fikirkan itulah yang orang lain turut fikirkan pada setiap masa. Mustahil bukan! Mana mungkin perkara ini boleh berlaku sepanjang masa. Setiap orang mempunyai cara gaya berfikir sendiri yang terbina daripada pengalaman, ilmu, asuhan, persekitaran, nilai yang terpahat sejak sekian lama. 
 
Tak semua orang boleh makan asam pedas setiap hari seperti kita. Seleranya berubah-ubah. Tak semua orang minumnya mesti manis-manis seperti kita. Tekaknya lain-lain. Nampak perbezaanya bukan? Perbezaan akan kita dapat jika perbezaan itu yang dicari dan persamaan pun akan kita nampak jika niat  kita adalah untuk mencari titik persamaan. Perbezaan bukan bermakna kita tidak boleh sehaluan makan sepinggan tetapi perbezaan itu membawa kita kepada sikap menghormati, saling menerima, selalu terbuka dan mudah berlapang dada. Hidup hanya sekali, jadi kenapa kita pilih untuk membebankan diri kita dengan perkara-perkara yang boleh buat hidup kita sengsara. Dunia adalah tempat untuk bercucuk tanam, di akhirat kelak adalah tempatnya untuk kita menuai hasil. Jika baik benihnya, maka kelak InsyaALLAH baiklah buahnya.
 
            Ayuh!!! Mari kita sama-sama betulkan jangkaan dan harapan kita terhadap orang lain. Kita hormati mereka. Tanamkan sikap bersangka baik, berlapang dada terbuka minda untuk menerima pandangan yang lain. Cara berfikirnya mungkin lebih hebat berbanding kita dalam perkara tertentu tanpa kita nafikan kita pun turut punya kelebihan dalam perkara lain. Jangan terlampau berharap kepada manusia kerana mereka belum tentu mampu memenuhi harapan kita, sebaliknya sandarkanlah harapan kita kepada Sang Pencipta manusia tersebut kerana Dialah sebenar-benarnya yang memenuhi pengharapan. “Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Al-An’am: 17)

Kita sama, tapi tak serupa.... Kekurangan dihormati, kelebihan dihargai...



No comments:

Post a Comment