Wednesday 25 June 2014

SATU LIDAH DUA TELINGA


SATU LIDAH DUA TELINGA

Pendengaran merupakan satu deria kurniaan Sang Pencipta yang paling besar kepada kita manusia normal. Nikmat yang cukup besar ini sekiranya digunakan secara betul sesungguhnya mampu memberikan impak yang cukup berkesan dalam kehidupan kita. Tetapi apabila direnung-renungkan kembali, sebenarnya kita susah untuk menggunakan kemahiran mendengar kita ini dengan betul ataupun digunakan semaksimum mungkin. Kita sebenarnya lebih cenderung untuk bercakap berbanding mendengar.
 
    Jika diperhatikan kepada kejadian kita, Allah menjadikan setiap daripada kita mempunyai dua telinga dan satu lidah yang diberi sifat kalam untuk berbicara. Disebalik hikmah kejadian dua telinga ini sememangnya mempunyai hikmah  yang lain dan tidak bukan adalah untuk melebihkan proses mendengar berbanding bercakap. Apabila kita diminta untuk mendengar, terus sahaja lidah kita akan lebih cenderung untuk bercakap. Diam dalam masa seminit itu seolah-olah kita dibisukan seumur hidup rasanya mungkin...
 
    Tidakkah kita ketahuai bahawa setiap masalah yang berlaku itu bukan semuanya diminta bantuan untuk diselesaikan tetapi sebenarnya adalah memerlukan kita untuk mendengar dengan penuh empati kepada apa yang diceritakan apa yang dikongsikan. Pendengaran kita adalah ditagih semasa itu. Mungkin masalah seseorang itu telahpun separuh berjaya diselesaikan atau dilegakan apabila kita hanya mendengar dengan aktif. Kadang-kadang kita lebih cepat untuk memikirkan apakah respon yang perlu dibalas sehinggakan kita terlupa untuk memberikan perhatian kepada apa yang cuba disampaikan kepada kita.  Janganlah kita cepat melatah untuk memberikan respon kepada sesebuah perbualan tanpa kita mengetahui pokok pangkal jalan ceritanya. Kelak kita dituduh sebagai orang yang mudah  mereka-reka cerita dan suka membuat adaian sendiri.
 
 
    Dalam sedar ataupun tidak adakah kita perasan bahawa apabila semakin tinggi kedudukan pangkat seseorang itu dalam sesebuah organisasi ataupun struktur masyarakat semakin hilang keupayan kita untuk mendengar dengar aktif bukan. Jika dulu kita sebagai orang bawahan, kita lebih diminta untuk banyakkan mendengar melaksanakan arahan berbanding bercakap memberikan arahan tetapi apabila semakin lama semakin tinggi jawatan, peranan kita mulai berubah. Kita lebih banyak bercakap berbanding mendengar. Tidak dikatakan benda ini  salah kerana mungkin kita berubah mengikut peranan kita sekarang ini yang sememangnya menuntut kita untuk  banyak memberikan arahan tetapi persoalannya ialah ianya hanya berlaku secara sehala sahaja tanpa ada ruang-ruang perbincangan, perkongsian pendapat dan ruang tegur menegur.
 
 
    Mulai hari ini saya perlu melihat jauh ke dalam diri saya apakah peranan saya yang sebenarnya. Ada masanya kita perlu berbicara adakalanya kita lebih perlu mendengar sahaja. Lebihkan ilmu, perbaiki  kemahiran mendengar,  tambahkan usaha kurangkan bercakap perkara yang sia-sia....
 

No comments:

Post a Comment