PUTRAJAYA - Jabatan Pengajian Politeknik akan menawarkan tiga kursus baharu dalam bidang pelancongan dan hospitaliti bagi membantu memenuhi keperluan pihak industri.
Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Jabatan Pengajian Politeknik Zulkeply Abdul Samad berkata kursus yang ditawarkan adalah Diploma in Hotel Management yang dijangka dilaksanakan akhir tahun ini.
Kursus Diploma in Travel and Tourism dan Diploma in Culinary Art pula dijangka bermula tahun hadapan, katanya.
"Diploma selama tiga tahun ini akan dijalankan di Politeknik Merlimau, Melaka; dan Politeknik Ibrahim Sultan, Johor, " katanya dalam sidang akhbar bersama pihak Kolej Komuniti Selayang bagi memaklumkan perkembangan program pelancongan dan hospitaliti masing-masing di sini hari ini.
Beliau berkata hanya 30 hingga 40 pelajar sahaja akan terpilih memasuki setiap kursus berkenaan pada setiap sesi pengambilan pelajar, berbanding kebiasaannya hampir 1,000 permohonan untuk memasuki kursus-kursus di politeknik.
Zulkeply berkata ketika ini jabatan itu menawarkan tujuh program pelancongan dan hospitaliti pada peringkat sijil kemahiran khas, diploma dan ijazah sarjana muda yang menepati kehendak Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Selayang Roslina Lapanditah berkata pada tahun lepas 85.2 peratus graduan kolej komuniti dalam bidang hospitaliti dan pelancongan diterima di pasaran kerja.
Selain itu, keseluruhan 50 graduan pekak dan bisu atau mengalami masalah pembelajaran seperti hiperaktif, disleksia dan autisme di kolej komuniti turut memperoleh pekerjaan dalam bidang hospitaliti dan pelancongan.
"Ini kerana pelajar-pelajar kita cekap dan berpengalaman kerana menjalani latihan industri di hotel dan sebagainya selama setahun bagi menimba pengalaman dan kemahiran," katanya. - Bernama
~ sumber Sinar Harian 9 /7
No comments:
Post a Comment