Thursday 12 September 2013

JARAK ANTARA DUA HATI...



Suatu hari seorang guru bertanya kepada murid-muridnya, “Mengapa ketika seseorang sedang marah, dia akan bercakap dengan suara kuat atau berteriak?”

Seorang murid setelah berfikir cukup lama mengangkat tangan dan menjawab, “Kerana dia telah hilang sabar, oleh itu dia berteriak.”
“Tapi…” guru bertanya kembali

“Orang yang dimarahinya hanya berada dekat dengannya. Mengapa perlu berteriak? Kenapa dia tak berbicara secara lembut?”
Hampir semua murid memberikan pelbagai alasan yang dirasakan logik menurut mereka. Namun tiada satu pun jawapan yang memuaskan.

Maka guru berkata, “Ketika dua orang sedang berada dalam kemarahan, jarak antara ke dua hati mereka menjadi amat jauh walaupun secara luaran mereka begitu dekat. Oleh itu, untuk mencapai jarak yang demikian, mereka harus berteriak.

Namun anehnya, semakin kuat mereka berteriak, semakin pula mereka menjadi marah dan dengan sendirinya jarak hati yang ada di antara mereka menjadi lebih jauh lagi. Kerana itu mereka terpaksa berteriak lebih kuat dan keras lagi.”


Guru masih melanjutkan, “Sebaliknya, apa yang terjadi ketika dua orang saling jatuh cinta? Mereka tidak berteriak, mereka berbicara dengan suara yang keluar dari mulut mereka dengan begitu perlahan dan kecil. Seperlahan bagaimana pun, kedua-duanya masih dapat mendengar dengan begitu jelas.

Mengapa demikian?” Guru bertanya sambil memerhatikan muridnya.
Mereka kelihatan berfikir panjang namun tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan. “Kerana hati mereka begitu dekat, hati mereka tak berjarak. Sepatah kata pun tak perlu diucapkan. Sebuah pandangan mata saja cukup membuat mereka memahami apa yang ingin mereka sampaikan.”

~ ~Ketika kita sedang dilanda kemarahan, janganlah hati kita mencipta jarak. Lebih–lebih lagi mengucapkan kata-kata yang mendatangkan jarak hati diantara kita. Mungkin di saat seperti itu, diam mungkin merupakan cara yang bijaksana. Kerana waktu akan membantu kita.


Wednesday 11 September 2013

KENAL DIRI…

Janganlah kita lalai dan terleka dengan sanjungan ribuan manusia kepada kita kerana dengan sanjungan itu belum tentu boleh membuatkan kita dekat dengan Sang Pencipta. Sanjungan itu boleh lenyap  sekelip mata dengan kesalahanmu. Sebenar-benar sanjungan ialah apabila Allah memandang kita. Biarlah kita tidak dipandang tidak dikenali oleh penghuni bumi, tetapi berharaplah agar nama kita segar harum menitip di bibir penghuni langit. Amat malang bagi mereka yang tidak dikenali di bumi dan di langit. Jangan diharap dengan sanjungan sementara manusia yang menilai hanya pada kaca mata kehidupan dunia. Sedangkan kehidupan yang sebenar adalah hakiki di sana kelak. Berapa ramai yang terleka mencari bekal untuk dia hidup di alam sementara walau hakikat hidup yang kekal adalah di akhirat. Diharapkan medan tempat bercucuk tananam ini kita gunakan sebaik mungkin supaya kelak nanti kita dapat tuai hasilnya.


               Setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatan. Kekuatan bukan untuk kita sombong dengannya dan kelemahan bukan untuk dihina. Namu janganlah kita bersedih dengan kelemahan yang ada kerana Allah tidak menghina kita dengan kelemahan itu. Orang yang buta matanya akan menjadi hebat apabila celik mata hatinya. Kenalilah kekuatan yang ada pada kita agar kelak dapat digunakan untuk kita dekat kepadaNYA digunakan untuk mencari keredhaanNYA. Kenalilah kelemahan agar nanti tidak digunakan musuh untuk menjatuh dan melemahkan kita. Setiap orang ada potensi tersendiri, cari dan galilah ia untuk kita kenal diri dan kenal Pencipta. Barang siapa yang tidak mengenali dirinya sesungguhnya dia tidak kenal akan Penciptanya...


Sunday 8 September 2013

NASI PUTIH

Pada petang ini suka untuk saya kongsikan kepada semua berkenaan satu perkara iaitu "Nasi Putih". Bukan niat saya di sini untuk mengajar bagaimana teknik memasak nasi dengan betul ataupun sebagainya. Saya sedia maklum kaum hawa sememangnya boleh dikategorikan mahapakar dalam bab ini tambah-tambah lagi sekarang ini dengan adanya periuk letrik kan.

   Sebenarnya, di sana terdapat satu perkara penting yang kita boleh belajar daripada "Nasi Putih" . Semangat "team-work' dan saling lengkap melengkapi yang cukup baik untuk dipraktikan. Cuba  kita semua renung sejenak, jika setiap hari hidangan kita hanyalah semata-mata nasi putih, agak-agak berapa ramai dikalangan kita yang boleh mengadap menu ini untuk setiap waktu ataupun setiap hari. Tentu tidak sanggup bukan...

   Jadi di sinilah kita boleh lihat dalam kehidupan kita sebenarnya diibaratkan seperti "Nasi Putih". Kita saling lengkap melengkapi dan semangat "team-work" itu amat-amat diperlukan. Tengoklah dalam setting pekerjaan kita, walau setinggi mana serendah mana pun jawatan dan tanggungjawab kita, kita adalah saling memerlukan. Seorang bos tidak akan mencapai visinya yang menggunung tanpa sokongan dan dokongan kakitangan di bawahnya dan begitu juga kakitangan bawahan, tanpa bos yang bervisi siapalah mereka untuk melaksanakan misi. Tanpa lauk-pauk, ulam-ulaman apalah makna sepinggan nasi putih kan..
  
   Kita tidak boleh menafikan hak orang lain sekiranya jelas tersirat tersurat itu haknya. Siapa kita.. Lauk-pauk tidak akan dimakan begitu sahaja tanpa nasi  putih. Setiap dari kita perlu dan ada sumbanganya walaupun dalam bentuk sekecil-kecil sumbangan.
" Jika tidak mampu untuk menjadi garam memasinkan ikan, jangan pula menjadi lalat untuk membusukkan ikan...."

   Sebuah hidangan yang lengkap akan mengandungi semua keperluan piramid. Sebuah organisasi yang mantap, perlu kepada penglibatan semua pihak. Kita tidak boleh mendabik dada untuk menyatakan kita mampu menyelesaikan semua tugas berseorangan. Tidak ada istilah "one man show" dalam hidup kita. Nasi ayam tidak akan dipanggil nasi ayam tanpa ayam dan tanpa nasinya...

     Kita adalah "Nasi Putih" itu dan mereka di sekeliling kita adalah lauk-pauk penyedapnya. Mana tumpah kuah kalu tidak ke nasi...
Hargailah mereka selagi mereka ada...



Thursday 5 September 2013

MENANGISLAH…


Wahai sahabatku...

Sesungguhnya dihadapanmu hanya ada dua berita iaitu gembira dan dukacita.  Kegembiraan membuat engkau akan melihat segalanya dengan penuh keceriaan dan keindahan, manakala dukacita menyebabkan engkau melihat segalanya dengan kesedihan, kehampaan dan kegelapan. Namun di hujung keduanya adalah kematian yang akan menutup segala pandangan tersebut.


Wahai sahabatku...

Andainya engkau sedar bahawa keduanya adalah ketentuan Allah sebagai ujian ke atasmu, lalu kamu akan melihat sesuatu yang dukacita sebagai pengampunan Allah terhadap dosa-dosamu di dunia agar tiada lagi azab menantimu di akhirat, tentulah engkau akan bersabar dan tenang menghadapinya. Ia menjadikan kamu lebih tabah dan cekal menghadapi masa depan.


Wahai sahabatku...

Andainya engkau mampu melihat sesuatu yang menggembirakanmu juga sebagai ujian dan kasih sayang Allah ke atasmu, tentulah engkau bertambah dekat dengan Tuhanmu. Engkau gunakanlah nikmat pemberian Tuhanmu bagi mencari redha Tuhanmu. Anggaplah itu sebagai cubitan kasih sayang Allah kepada hambaNYA.


Wahai sahabatku...

Orang yang terlalu sedih akan menangis kesedihan, manakala orang yang terlalu gembira juga akan menangis kegembiraan. Namun kedua-dua tangisan ini tiada nilai di sisi Allah, melainkan tangisan kesabaran dan keredhaan bagi mereka yang diuji dengan kesedihan, manakala tangisan kesyukuran bagi yang diuji dengan kesenangan...

Menangislah...


Tuesday 3 September 2013

PROFESOR KARAM

Di tengah-tengah sebuah tasik, kelihatan seorang Profesor sedang menaiki sebuah sampan bersama dengan seorang sipendayung sampan yang sedang meluncur perlahan...

"Tenang betul fikiran saya bila dapat menikmati keindahan alam seperti ini selepas bertungkus-lumus seharian di pejabat tu" keluh profesor kepada sipendayung. Memulakan percakapanya. Gayanya penuh rehat. Mungkin ini pengalaman pertama baginya dapat berada di tengah-tengah tasik yang begitu tenang airnya itu.

"Betul tuan, orang seumpama saya ni suasana seperti ini sajalah yang menjadi hiburan, bagi ketenangan menjadi teman. Malahan tempat ini jugalah untuk saya mencari rezeki...". Sampuk sipendayung bagi memulakan perbualan mereka pada petang itu. Air mukanya cukup tenang, setenang air di tasik itu. 

Sedang mereka bersampan di tengah-tengah tasik, profesor itu  tadi pun meneruskan perbualan mereka. Topik percakapannya agak berat kali. "Pakcik... dalam masa hidup pakcik ni dah berapa buah buku yang pakcik berjaya habiskan?" soal profesor kepada sipendayung sampan tadi dengan nada yang agak beria-ria untuk mendapatkan jawapanya. Soalannya cukup ilmiah, menggambarkan siapa dirinya.

"Pakcik ni tak rajin sangat membaca tuan. Kehidupan seharian ni banyak dihabiskan di atas sampan ni je untuk mencari sedikit rezeki untuk anak isteri..." balas sipendayung sampan dengan nada yang agak merendah diri. Jawapannya yang ringkas tadi membuatkan profesor tadi tidak senang.

Tiba-tiba dengan nada yang agak keras profesor itu pun menjawab, " Saya kesian pada pakcik. Sepatutnya kehidupan kita ni perlu diisi dengan seberapa banyak ilmu, pakcik... Dengan membaca itu kita akan dapat menambah bermacam-macam perkara. Tengok macam saya, boleh dikatakan kehidupan saya ini memang dihabiskan dengan membaca. Banyak perkara yang saya tahu dengan bacaan saya. Semua orang dapat saya bantu. Saya menjadi tempat rujukan ramai... ". Tambah profesor dengan riak wajah yang agak bangga akan dirinya yang cukup terkenal dengan ilmunya.

Sipendayung tidak cepat melatah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh profesor itu tadi. Maka dengan tenang, dijawabnya... "mungkin pakcik tak berpeluang untuk mengisi masa pakcik dengan membaca seperti tuan, mungkin ini kesilapan pakcik dahulu yang tidak mengatur dengan baik kehidupan ini. Itu sebablah kenapa pakcik hanya hidup dengan mendayung sampan, tetapi walau macam mana pun, pakcik bersyukur kerana pakcik boleh menyara keluarga pakcik dengan hasil titik peluh pakcik sendiri tanpa mengharapkan belas ehsan daripada orang lain..." nadanya dihempas perlahan.

Terkedu profesor apabila mendengar jawapan yang diberikan sipendayung sampan itu tadi. Tidak diduga dengan soalan tadi sipendayung akan menjawab dengan sedemikian rupa. Jawapannya cukup dalam. Timbul rasa bersalah dalam dirinya. Siapa sangka sipendayung sampan pun mampu  berbahasa lagi apabila diajukan soalan seperti itu. Jangkaannya meleset. Nampaknya ketinggian ilmunya tidak menggambarkan ketinggian budi bahasanya... Dia membisu seribu bahasa.. Pandangannya dilontarkan jauh ketengah tasik.

Tiba-tiba... Sipendayung bersuara cemas..  "Tuan!!! sampan kita bocor...." Jerit sipendayung kepada profesor. " Cepat terjun Tuan!!!Kita mesti selamatkan diri kita daripada karam bersama sampan ni..." sambung sipendayung lagi.

"Maaf pakcikkkkk, saya tak tahu berenang..." rayu profesor kepada sipendayung. Harapanya agar dia turut diselamatkan....


- Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing untuk saling lengkap-melengkapi di atara satu sama lain.

- Ilmu sifatnya semakin digali semakin banyak yang kita rasakan yang kita tidak tahu.

- Kita saling memerlukan di antara satu sama lain dan setiap orang adalah penyumbang dalam merencanakan sesebuah kehidupan.

- Sikap memperkecilkan orang lain adalah satu perbuatan yang seharusnya dielakkan.

- Seseorang itu bukan gagal untuk bertindak seoptima mungkin tetapi mungkin dia tidak diletakkan ditempat yang tepat dengan  kepakarannya ataupun mungkin dia tidak diberi peluang untuk membuktikan kemampuanya. Oleh itu jangan silap dalam membuat percaturan terhadap manusia.


Monday 2 September 2013

WAHAI SAHABATKU...

Wahai sahabatku...

Adakalanya kamu bersedih dengan apa yang kamu hadapi di dunia ini. Kamu akan lebih suka bersendirian, merajuk dan menjauhkan driri dari orang ramai. adakalanya kamu boleh menangis dengan masalah yang kamu hadapi.

Wahai sahabatku...

Sewaktu kamu rasa besarnya bebanan dan masalah yang kamu hadapi, terasa beratnya jiwa menanggung bebanan tersebut; engkau akan rasa tertekan yang amat sangat, di kala itu wahai sahabatku, engkau telah meletakkan kesalahn pada dirimu atau pada orang lain. Sebenarnya, kamu perlukan kekuatan jiwa dan semangat bagi menghadapinya. Engkau perlukan kekuatan bagi menghadapi tekanan hidup ini.

Wahai sahabatku...

apakah ada kekuatan lain selain kekuatan hubungan dengan Allah yang mampu mengeluarkan kamu dari perangkap kekecewaan yang sengaja dipasang oleh syaitan bagi menjadikan kamu murung, bersedih, dan bersendirian?

Wahai sahabatku...

Kamu boleh menangis dan bersedih kerana manusia. Berapa kali kamu bersedih dan menangis keran kamu melanggar perintah Tuhanmu?? Berapa banyak air matamu tumpah dek kerana dosa-dosamu? Kamu rasa lemah menghadapi kerenah manusia, tetapi kamu tidak berusaha mencari jalan membina kekuatan amalanmu.

Wahai sahabatku...

jangan biarkan perasaanmu dibelai oleh nafsu, sebagaimana jangan kamu biarkannya dikuasai oelh syaitan. Syaitan sangat inginkan kamu murung dengan masalah kecil, kerana lemahnya jiwamu. Sedangkan dihadapanmu menanti hari yang sangat besar. kamu nanti tiada masa memikirkan masalah remeh-temeh ini, kerana dasyatnya saat akhirat yang kamu akan tempuhi.

Wahai sahabatku...

Rasulullah SAW bersabda: " Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, jaganlah kamu berkata 'kalaulah aku lakukan begitu dan begini', tetapi katakanlah 'telah ditakdirkan Allah', apa yang dikehendakiNYA akan terjadi. Kerana perkataan 'kalau' akan membuka ruang syaitan ke dalam hatimu".

Wahai sahabatku...

Tabahlah menhadapi sedikit ujian Allah di dunia ini, kerana dengan ujian itu kamu akan menjadi semakin matang menghadapi cabaran. Bersabarl;ah dengan apa yang menimpamu, kerana dengan mehnah itu, Allah akan mengankat darjatmu dan mengampuni dosa-dosamu. Wahai sahabatku, tangisilah dosa-dosamu di dunia ini, kerana itu lebih mudah bagimu dari menangisi azab Tuhanmu di akhirat...