PROFESOR KARAM
Di tengah-tengah sebuah tasik, kelihatan seorang Profesor sedang menaiki sebuah sampan bersama dengan seorang sipendayung sampan yang sedang meluncur perlahan...
"Tenang betul fikiran saya bila
dapat menikmati keindahan alam seperti ini selepas bertungkus-lumus seharian di
pejabat tu" keluh profesor kepada sipendayung. Memulakan
percakapanya. Gayanya penuh rehat. Mungkin ini pengalaman pertama baginya dapat
berada di tengah-tengah tasik yang begitu tenang airnya itu.
"Betul tuan, orang seumpama saya
ni suasana seperti ini sajalah yang menjadi hiburan, bagi ketenangan menjadi
teman. Malahan tempat ini jugalah untuk saya mencari rezeki...". Sampuk sipendayung bagi memulakan perbualan mereka pada
petang itu. Air mukanya cukup tenang, setenang air di tasik itu.
Sedang mereka bersampan di
tengah-tengah tasik, profesor itu tadi pun meneruskan perbualan
mereka. Topik percakapannya agak berat kali. "Pakcik... dalam masa
hidup pakcik ni dah berapa buah buku yang pakcik berjaya habiskan?" soal
profesor kepada sipendayung sampan tadi dengan nada yang agak beria-ria untuk
mendapatkan jawapanya. Soalannya cukup ilmiah, menggambarkan siapa dirinya.
"Pakcik ni tak rajin sangat
membaca tuan. Kehidupan seharian ni banyak dihabiskan di atas sampan ni je
untuk mencari sedikit rezeki untuk anak isteri..." balas sipendayung
sampan dengan nada yang agak merendah diri. Jawapannya yang ringkas tadi
membuatkan profesor tadi tidak senang.
Tiba-tiba dengan nada yang agak keras
profesor itu pun menjawab, " Saya kesian pada pakcik. Sepatutnya
kehidupan kita ni perlu diisi dengan seberapa banyak ilmu, pakcik... Dengan
membaca itu kita akan dapat menambah bermacam-macam perkara. Tengok macam saya,
boleh dikatakan kehidupan saya ini memang dihabiskan dengan membaca. Banyak
perkara yang saya tahu dengan bacaan saya. Semua orang dapat saya
bantu. Saya menjadi tempat rujukan ramai... ". Tambah
profesor dengan riak wajah yang agak bangga akan dirinya yang cukup terkenal
dengan ilmunya.
Sipendayung tidak cepat melatah dengan
kenyataan yang dikeluarkan oleh profesor itu tadi. Maka dengan tenang, dijawabnya...
"mungkin pakcik tak berpeluang untuk mengisi masa pakcik dengan membaca
seperti tuan, mungkin ini kesilapan pakcik dahulu yang tidak mengatur dengan
baik kehidupan ini. Itu sebablah kenapa pakcik hanya hidup dengan mendayung
sampan, tetapi walau macam mana pun, pakcik bersyukur kerana pakcik boleh
menyara keluarga pakcik dengan hasil titik peluh pakcik sendiri tanpa
mengharapkan belas ehsan daripada orang lain..." nadanya dihempas
perlahan.
Terkedu profesor apabila mendengar
jawapan yang diberikan sipendayung sampan itu tadi. Tidak diduga dengan soalan
tadi sipendayung akan menjawab dengan sedemikian rupa. Jawapannya cukup dalam.
Timbul rasa bersalah dalam dirinya. Siapa sangka sipendayung sampan pun
mampu berbahasa lagi apabila diajukan soalan seperti itu. Jangkaannya
meleset. Nampaknya ketinggian ilmunya tidak menggambarkan ketinggian budi
bahasanya... Dia membisu seribu bahasa.. Pandangannya dilontarkan jauh ketengah
tasik.
Tiba-tiba... Sipendayung bersuara
cemas.. "Tuan!!! sampan kita bocor...." Jerit sipendayung
kepada profesor. " Cepat terjun Tuan!!!Kita mesti selamatkan diri kita
daripada karam bersama sampan ni..." sambung sipendayung lagi.
"Maaf pakcikkkkk, saya tak tahu
berenang..." rayu profesor kepada sipendayung.
Harapanya agar dia turut diselamatkan....
- Setiap orang
mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing untuk saling
lengkap-melengkapi di atara satu sama lain.
- Ilmu sifatnya
semakin digali semakin banyak yang kita rasakan yang kita tidak tahu.
- Kita saling
memerlukan di antara satu sama lain dan setiap orang adalah penyumbang dalam
merencanakan sesebuah kehidupan.
- Sikap memperkecilkan
orang lain adalah satu perbuatan yang seharusnya dielakkan.
- Seseorang
itu bukan gagal untuk bertindak seoptima mungkin tetapi mungkin dia
tidak diletakkan ditempat yang tepat dengan kepakarannya ataupun mungkin
dia tidak diberi peluang untuk membuktikan kemampuanya. Oleh itu jangan
silap dalam membuat percaturan terhadap manusia.
No comments:
Post a Comment