Thursday 5 September 2013

MENANGISLAH…


Wahai sahabatku...

Sesungguhnya dihadapanmu hanya ada dua berita iaitu gembira dan dukacita.  Kegembiraan membuat engkau akan melihat segalanya dengan penuh keceriaan dan keindahan, manakala dukacita menyebabkan engkau melihat segalanya dengan kesedihan, kehampaan dan kegelapan. Namun di hujung keduanya adalah kematian yang akan menutup segala pandangan tersebut.


Wahai sahabatku...

Andainya engkau sedar bahawa keduanya adalah ketentuan Allah sebagai ujian ke atasmu, lalu kamu akan melihat sesuatu yang dukacita sebagai pengampunan Allah terhadap dosa-dosamu di dunia agar tiada lagi azab menantimu di akhirat, tentulah engkau akan bersabar dan tenang menghadapinya. Ia menjadikan kamu lebih tabah dan cekal menghadapi masa depan.


Wahai sahabatku...

Andainya engkau mampu melihat sesuatu yang menggembirakanmu juga sebagai ujian dan kasih sayang Allah ke atasmu, tentulah engkau bertambah dekat dengan Tuhanmu. Engkau gunakanlah nikmat pemberian Tuhanmu bagi mencari redha Tuhanmu. Anggaplah itu sebagai cubitan kasih sayang Allah kepada hambaNYA.


Wahai sahabatku...

Orang yang terlalu sedih akan menangis kesedihan, manakala orang yang terlalu gembira juga akan menangis kegembiraan. Namun kedua-dua tangisan ini tiada nilai di sisi Allah, melainkan tangisan kesabaran dan keredhaan bagi mereka yang diuji dengan kesedihan, manakala tangisan kesyukuran bagi yang diuji dengan kesenangan...

Menangislah...


No comments:

Post a Comment